KUCHING, 6 Februari - Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak berjaya mencatat empat siri kejayaan menerusi tiga operasi khas yang dilaksanakan di lima daerah berbeza pada Selasa lepas.
Operasi tersebut dikenali sebagai ‘Op Taring Alpha’, ‘Op Taring Bravo 1’ dan ‘Op Taring Charlie’ membawa kepada rampasan pelbagai barangan seludup dan penyelewengan bernilai RM9.93 juta, selain penahanan sembilan individu bagi membantu siasatan.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Dr. Che Ghazali Che Awang berkata, kejayaan operasi ini mencerminkan komitmen PGA Sarawak dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta penyelewengan barangan bersubsidi yang merugikan negara.
Di Bau, PGA merampas 10,500 karton rokok putih dan 3,060 karton rokok kretek yang belum lulus cukai Kastam. Serbuan dilakukan di sebuah premis menerusi ‘Op Taring Alpha’.
"Anggaran nilai keseluruhan rampasan mencecah RM5.734 juta. Dalam operasi itu, seramai tiga warga tempatan berusia antara 21 hingga 28 tahun turut ditahan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Di Miri dan Bintulu, pihak berkuasa berjaya merampas 1,198 karton rokok putih, 2,348 karton rokok kretek serta 540.86 liter minuman keras pelbagai jenama yang belum lulus cukai Kastam.
"Rampasan dibuat dalam serbuan ke atas sebuah premis di Bintulu. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM2.924 juta, selain seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun turut ditahan," katanya.
Di Sibu, melalui ‘Op Taring Bravo 1’ pihak berkuasa berjaya merampas 15,600 liter minyak diesel bersubsidi yang dipercayai diseleweng dan disimpan di sebuah premis di sekitar bandar tersebut.
"Turut disita dalam operasi ini ialah dua buah lori yang digunakan dalam kegiatan berkenaan. Empat lelaki termasuk seorang warga asing berumur antara 20 hingga 58 tahun ditahan, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM1.190 juta," katanya.
Sementara itu, di Simunjan, menerusi ‘Op Taring Charlie’, PGA merampas 1,202 unit mercun dan bunga api pelbagai jenis dalam serbuan ke atas sebuah premis.
Dalam operasi tersebut, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditahan dengan nilai rampasan dianggarkan RM101,020.