fb fb fb fb fb

Lelaki ditahan miliki senjata lastik dan busur panah di Ipoh

Foto Hiasan

IPOH, 6 Februari - Seorang lelaki ditahan kerana memiliki senjata lastik menyerupai senapang dan busur panah di Jalan Tambun, Ipoh, tengah malam tadi.

Penahanan ke atas suspek berusia 34 tahun dilakukan Bahagian Siasatan Khas (D9) Bukit Aman pada 12.30 tengah malam.

Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Saariat menerusi kenyataan berkata, polis merampas tujuh unit senjata lastik menyerupai senapang, empat unit busur panah, enam jenis anak panah pelbagai jenis dan 300 biji bebola bearing dan sebuah unit telefon bimbit.

Siasatan lanjut mendapati suspek negatif dadah dan tiada rekod lampau.

Suspek direman dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.    

Orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi undang-undang ditetapkan berkenaan pemilikan dan penggunaan senjata api dengan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap individu yang memiliki senjata api buatan sendiri atau tanpa lesen.

TETITIA YUSOFF