fb fb fb fb fb

Kes banduan didakwa miliki bahan IS dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

Foto RTM

KOTA BHARU, 24 Oktober-Mahkamah Sesyen Kota Bharu bersetuju permohonan memindahkan kes seorang bekas banduan, Nik Mohd Shalahuddin Zakaria yang didakwa terlibat dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Keputusan itu dibuat Hakim Zulkifli Ablah, selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hashim pada prosiding sebutan kes itu. 

Dalam pernyataannya kepada mahkamah, Shafiq memaklumkan bahawa pendakwaan telah menerima laporan pakar keganasan dan bersetuju untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Nik Mohd Shalahuddin yang pernah dipenjara tiga tahun di Johor pada 2018 hingga 2020 kerana memiliki bahan berkaitan IS, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas empat pertuduhan memiliki dan menyokong IS pada 21 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang juga seorang penganggur didakwa memiliki 1,398 keping gambar, 62 video dan 565 artikel di dua telefon pintar. 

Kesemua bahan itu mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas dan kumpulan pengganas IS. 

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Kampung Senang, Kota Jembal di sini kira-kira pukul 9.15 pagi pada 10 Jun lalu. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan harta yang telah digunakan atau diniat dalam melakukan kesalahan itu turut dirampas sekiranya disabitkan bersalah.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD