fb fb fb fb fb

Keputusan permohonan Muhyiddin dapatkan pasport secara kekal pada 29 November

Tan Sri Muhyiddin ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 23 November- Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan 29 November untuk membuat keputusan berhubung permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam pemohon Datuk K. Kumaraendran serta Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Lim Wai Keong.

Terdahulu, Kumaraendran berhujah bahawa ia tidak sepatutnya menjadi isu bagi mahkamah menyerahkan pasport itu tanpa syarat kerana anak guamnya tidak pernah gagal menghadiri prosiding mahkamah sejak kes itu bermula.

Selain menjawat beberapa jawatan penting serta memiliki aset dalam negara.

Sementara itu, Wan Shaharuddin dalam hujah balasnya berkata permohonan berkenaan tidak sepatutnya dibenarkan kerana tertuduh masih menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

DPP Lim pula berhujah bahawa jika permohonan itu dibenarkan, ia akan memperolok-olokkan keadilan kerana alasan utama tertuduh mendapatkan pasport secara kekal adalah untuk tujuan percutian.

Pada 16 Oktober lepas, Muhyiddin memfailkan notis permohonan supaya mahkamah mengubah bon yang dikenakan terhadapnya bagi mengembalikan pasport antarabangsanya tanpa syarat.

Dalam afidavit sokongannya, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata beliau memerlukan pasport untuk percutian keluarga di London dan pemeriksaan kesihatan di Singapura pada akhir tahun ini.

Pada 2 Oktober lepas, Muhyiddin memfailkan permohonan supaya beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE