fb fb fb fb fb

Guru didakwa amang seksual pelajar tingkatan dua

FOTO RTM

KEMAMAN, 23 November- Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan liwat terhadap seorang pelajar perempuan November tahun lalu.
 
Tertuduh, Nor Azdi@Mohd Norazdil Farid Zahari, 46,  bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik kesemua pertuduhan dibaca berasingan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
 
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual dengan mangsa yang berusia 14 tahun melalui aplikasi WhatsApp kira-kira pukul 6.39 petang, pada 8 November lalu.
 
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 11 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksima tiga tahun.
 
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh kira-kira jam 9.45 pagi hari yang sama telah melakukan amang seksual fizikal dengan meliwat mangsa di sebuah makmal ICT di sebuah sekolah di daerah ini.
 
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
 
Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh dituduh berkomunikasi menggunakan Whatsapp secara lucah dengan mangsa pada 4 November hingga 7 November tahun lalu dengan niat melakukan hubungan seks di bawah Seksyen 12 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun.
 
Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa telah mengakses atau mempunyai gambar lucah mangsa pada 14 November tahun lalu, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda.
 
Wan Suhaila kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM17,000 bagi keempat-empat pertuduhan dengan seorang penjamin.
 
Wan Suhaila kemudiannya menetapkan 19 Disember depan sebagai sebutan semula kes.
 
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman dan tertuduh diwakili seorang peguam

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD