fb fb fb fb fb

Warga emas disamun lelaki menyamar tukang rumah

FOTO HIASAN

IPOH, 23 November - Seorang lelaki warga emas ditetak seorang penyamun yang menyamar sebagai tukang rumah di Taman Indah Jaya di Teluk Intan, kira-kira pukul 5.00 semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri dalam satu kenyataan berkata, mangsa berusia 74 tahun yang berseorangan di rumah didatangi seorang lelaki tempatan yang menawarkan kerja-kerja pengubahsuaian di bahagian hadapan pagar rumah mangsa.

"Mangsa yang terpedaya dengan tawaran tersebut telah membenarkan suspek masuk ke dalam rumah. Suspek kemudiannya bertindak menolak badan mangsa dengan kuat sehingga terjatuh.

"Mangsa cuba untuk melarikan diri namun dihalang suspek dan telah bertindak menetak tangan mangsa dengan menggunakan sebilah parang," katanya.

Menurut Ahmad Adnan suspek bertindak mengikat kedua-dua tangan mangsa menggunakan tuala kecil serta pada masa sama, dua orang lagi rakan suspek masuk ke dalam rumah berkenaan untuk menggeledah dan berjaya melarikan barangan kemas, jam tangan pelbagai jenama, sebuah telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM3,000 serta sebuah Perodua Axia milik mangsa.

"Mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian jari telunjuk kanan dan menerima lima jahitan telah meminta bantuan orang awam dan mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Fa’eqa Razak di talian 017-4415342 atau 05-6299222.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan.

TETITIA YUSOFF