fb fb fb fb fb

Kelar bayi: 10 saksi diambil keterangan termasuk suami, jiran

FOTO HIASAN

JOHOR BAHRU, 25 Mac- Seramai 10 orang saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes seorang bayi lelaki berusia setahun enam bulan yang maut dikelar oleh ibu kandungnya di Pasir Gudang, Johor, pada 16 Mac lalu.

Sehingga kini, mereka yang dipanggil itu adalah melibatkan suami suspek, jiran tetangga dan keluarga terdekat dan kenalan rapat.

Ketua Polis negeri, Komisioner M. Kumar berkata, suspek, 32, juga telah didakwa atas tuduhan membunuh pada Khamis lalu.

"Suspek telah dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun atas arahan makamah, (suspek) dihantar untuk pemerhatian di Hospital Permai di bawah peruntukan Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 peringkat negeri Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini.

Minggu lepas, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan kejadian itu dengan memaklumkan mangsa maut akibat dikelar di bahagian leher.

Siasatan awal mendapati, suspek telah menghantar gambar bayinya yang berlumuran darah melalui aplikasi WhatsApp kepada suaminya.

SITI AISHAH MD ISA