KLANG, 26 Mei- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor berjaya mematahkan lima cubaan penyeludupan pelbagai komoditi bernilai keseluruhan lebih RM3.5 juta termasuk duti dan cukai, dalam beberapa siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan sepanjang April dan Mei 2025.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa @ Mustapha berkata, antara komoditi yang dirampas termasuk beras, tembakau kunyah, mesin basuh dan pengering pakaian, logam terpakai serta minuman keras.
"Jumlah keseluruhan nilai rampasan direkodkan sebanyak RM2,546,914, manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat ialah RM966,220, menjadikan jumlah keseluruhan termasuk cukai sebanyak RM3,513,134," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.
Rampasan terbesar melibatkan logam terpakai seberat 272,696 kilogram yang dikesan dalam 14 buah kontena, dengan nilai anggaran melebihi RM1.6 juta yang dipercayai diimport tanpa permit dari beberapa negara Asia, Eropah dan Amerika, menggunakan pengikraran palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.
Dalam kes berasingan, JKDM Selangor turut merampas lebih 26,000 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai RM978,319, termasuk cukai dan duti.
Pemeriksaan pada 6 Mei lalu mendapati pengimport mengikrarkan dagangan sebagai perabot bagi mengelak daripada mematuhi syarat Permit Import.
Turut dirampas, beras seberat 12,800 kilogram, 295 kilogram tembakau kunyah dan 21 unit mesin basuh serta mesin pengering pakaian dalam tiga lagi sitaan berasingan.
Kesemua kes sedang disiasat bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967, kerana mengimport barang larangan tanpa permit dan membuat pengikraran palsu.
Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak lebih dari lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu pihak JKDM turut menggesa orang awam agar terus bekerjasama memerangi kegiatan penyeludupan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855, dengan jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.