fb fb fb fb fb

Kastam rampas rokok, minuman keras pelbagai jenama bernilai setengah juta

Foto RTM

SIBU, 17 Mei - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sibu, JKDM Sibu, Sarawak telah berjaya merampas sejumlah rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam bernilai RM763,874.40

Menurut Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Norizan Yahya, sepasukan pegawai dari Cawangan Penguatkuasaan JKDM Sibu telah membuat serbuan ke atas bangunan terbiar di Lorong Tunku Abdul Rahman di sini.

“Hasil pemeriksaan telah menemui sejumlah rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam dengan kuantiti sebanyak 2,130,000 batang dan 1,837.44 liter minuman keras bernilai RM763,874.40 melibatkan anggaran jumlah duti dan cukai bernilai RM2.274,537.67", katanya di sidang media di pejabat JKDM Sibu hari ini.

Jelasnya, penyeludup menyembunyi dan menyimpan barang tidak berkastam dalam bangunan yang terbiar bagi mengelak dari dikesan pihak berkuasa sebelum diedar ke pasaran tempatan.

Ujar Norizan, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam sidang media sama, beliau mendedahkan dari tempoh Januari 2024 hingga 10 Mei 2024, JKDM Sibu telah berjaya menghasilkan 39 kes tangkapan melibatkan rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam dengan nilai barang rampasan termasuk cukai berjumlah
lebih RM3.22 juta.

“JKDM Sibu juga sepanjang tempoh sama telah berjaya menggagalkan enam kes cubaan membawa masuk dadah jenis Methamphetamine, Ketamine dan Ganja melalui mod udara dengan berat anggaran kasar sebanyak 46.88 kilogram bernilai lebih RM1.488 juta. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952", katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD