JOHOR BAHRU, 17 Mei - Suspek yang menembak dan menetak tiga anggota polis yang mengorbankan dua daripadanya di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi dipercayai ahli Jemaah Islamiyah (JI).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata susulan serangan itu, pihak polis menyerbu kediaman suspek dan menahan seramai lima ahli keluarga berusia 19 hingga 62 tahun bagi membantu siasatan.
“Siasatan mendapati bahawa suspek yang mati ini telah membuat persediaan rapi selepas beg digunakannya ada "shield" (perisai), kain dan kertas untuk bertempur dengan polis.
“Polis mengesyaki dia datang ke balai untuk mendapatkan (bekalan) senjata api untuk agenda dia yang tidak diketahui lagi buat masa ini,” katanya dalam sidang media selepas meninjau lokasi kejadian hari ini.
Razarudin berkata, dalam kejadian pukul 2.54 pagi itu, suspek berusia 21 tahun datang ke balai dengan menunggang motosikal dan menuju ke belakang balai polis, lalu menyerang serta menetak leher anggota yang sedang bertugas melakukan rondaan sebanyak tiga kali.
"Suspek kemudian mengambil senjata api dan menembak dua lagi anggota polis yang berada di tempat kejadian.
"Seorang anggota maut akibat tembakan yang menembusi kepalanya manakala seorang lagi cedera parah di bahu kiri dan pinggul kiri sedang menerima rawatan di hospital," katanya.
Polis kemudian merampas pistol Walther P99 dan selaras HK MP5 daripada suspek yang maut di tempat kejadian.
Razarudin mendedahkan, sebelum kejadian dua remaja lelaki dan perempuan datang ke balai pada pukul 2.30 bagi mendapatkan nasihat berkaitan kes cabul pada dua tahun lalu.
“Masa nak buat laporan, suspek terus masuk ke tempat parkir di belakang (balai) dan apabila anggota pergi melihat ke belakang, anggota kita telah pun ditetak dengan parang.
“Jadi kita menahan dua pengadu masing-masing berusia 21 dan 22 tahun bagi membantu siasatan. Macam tak logik hadir ke balai awal bagi untuk minta pandangan kes dua tahun lalu,” katanya.
Jemaah Islamiyah pernah melakukan serangan bom di Indonesia dalam dua serangan yang berbeza pada tahun 2002 dan di Jakarta pada 2009.
Pengeboman itu telah mengorbankan lebih 200 orang pada tahun 2002 di Bali.