fb fb fb fb fb

Tiga lelaki ragut rantai penjual air kelapa diburu polis

Tangkap layar video tular menerusi akaun X @update11111

BUKIT MERTAJAM, 17 Mei- Tiga lelaki yang meragut rantai leher milik seorang penjual air kelapa di tepi jalan di Taman Impian Alma, di sini, Pulau Pinang, sedang dikesan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya mengesan satu video tular menerusi plaform X menunjukkan mangsa berusia 40-an diragut oleh individu bermotosikal.

"Pada pukul 9.10 pagi ini, terkesan satu video berdurasi satu minit yang dimuat naik oleh pemilik akaun X, @update11111 memaparkan seorang penjaja diragut.

"Hasil siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku pada 16 Mei (semalam), lebih kurang 11.00 pagi (yang) menimpa mangsa seorang lelaki tempatan," katanya dalam kenyataan.

Helmi berkata, kejadian itu berlaku apabila tiga lelaki yang menaiki dua motosikal dengan seorang daripadanya menghampiri mangsa dan berpura-pura membeli air kelapa sebelum tiba-tiba meragut rantai leher mangsa. 

Ketiga-tiganya kemudian melarikan diri dan mangsa bertindak mengejar mereka, namun gagal.

Semakan nombor pendaftaran motosikal yang diguna penjenayah adalah palsu dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian berkenaan juga dimohon tampil membantu siasatan.

"Maklumat berkenaan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Marsila Hamzahdi di talian 04-5382222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran," katanya.

1705 TIGA LELAKI RAGUT RANTAI 3

Mangsa dirakam mengejar penjenayah yang meragut rantai lehernya/@update11111

SITI AISHAH MD ISA