fb fb fb fb fb

Kastam Perak gagalkan 26 kes penyeludupan lebih RM2 juta

Antara barangan yang dirampas dalam Operasi Macan Legit 2

IPOH, 26 Ogos - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak menggagalkan 26 kes penyeludupan melalui Operasi Macan Legit 2, dengan nilai duti dianggarkan melebihi RM2 juta sehingga 15 Ogos lalu.

Pengarah Kastam negeri, Mohd Nadzri Ariffin berkata, operasi dijalankan di beberapa lokasi termasuk Perak, Selangor dan Pelabuhan Klang.

Antara rampasan terbesar ialah minuman keras bernilai lebih RM316,000 di Sitiawan, Perak dengan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan.

Di Pelabuhan Klang, kastam merampas 14,000 peket ayam sejuk beku seberat 29,000 kilogram, dengan nilai dagangan melebihi RM275,000 dan cukai lebih RM13,000.

“Pihak MAQIS mengesahkan ayam ini dibawa dari syarikat yang tidak tersenarai atau disahkan sebelum ini, dari China. Status halal juga meragukan,” katanya.

Di Bagan Serai, rokok putih dan kretek pelbagai jenama ditemui di sebuah rumah kosong dengan nilai cukai melebihi RM139,000.

Manakala di Shah Alam, sebanyak 6.6 tan beras dirampas di sebuah gudang kerana disyaki diimport tanpa permit BERNAS, melibatkan nilai lebih RM29,000 termasuk duti.

Kesemua kes disiasat bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan, penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN