JOHOR BAHRU, 26 Ogos - Seorang pegawai dan dua anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas beberapa pertuduhan meminta serta menerima rasuah, dua tahun lalu.
Pengakuan dibuat di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Tertuduh, Inspektor Deris Jerman, 43, dan Korporal Mohd Fahmee Mohd Top, 37, didakwa secara bersama atas tiga pertuduhan bersetuju menerima suapan RM7,000 daripada tiga individu.
Suapan itu sebagai balasan tidak menyita lori milik mereka pada 30 November 2023.
Kedua-dua tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan menerima suapan dengan jumlah keseluruhan RM4,500 daripada dua individu pada tarikh sama.
Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 16(a)(A) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum bawah seksyen 24(1) akta sama.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Dalam prosiding berasingan, Lans Koperal Muhammad Taufiyqul Hakim Mohd Zaki, 29, turut didakwa meminta suapan RM800 pada 19 November 2023.
Suapan itu didakwa sebagai balasan tidak menyita lori milik seorang individu.
Kes berkenaan dikemukakan bawah seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah seksyen 24(1) akta sama.
Mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 September ini.