ALOR SETAR, 1 Disember - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas 719,250 unit peranti dan cecair rokok elektronik atau vape bernilai hampir RM13 juta ringgit dengan anggaran duti dan cukai melebihi RM3 juta selepas menyerbu sebuah gudang penyimpanan di kawasan Industri Padang Besar, Perlis.
Pengarahnya Wan Marini Wan Hamzah berkata rampasan dengan nilai keseluruhan lebih RM16 juta itu, dibawa masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai untuk pasaran tempatan dan eksport.
Katanya serbuan bahagian penguatkuasa pada 13 Oktober lalu, adalah kejayaan terbesar Kastam Kedah dalam tempoh tiga tahun bagi rampasan vape.
Menurutnya berdasarkan modus operandi pengimport tidak membuat ikrar betul kuantiti barangan dan tidak mengemukakan permit import yang sah.
"Pemeriksaan lanjut mendapati orang yang disyaki (OYDS) gagal mengemukakan permit import sah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah program perkhidmatan farmasi bagi sejumlah 211,050 peranti dan 508,200 cecair vape pelbagai jenama," katanya.
Susulan serbuan itu, seorang lelaki yang juga penjaga gudang berusia lingkungan 40-an ditahan untuk siasatan, di samping meneruskan siasatan bagi mengenal pasti pemilik serta status gudang terbabit.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Kedah di sini.
Cecair vape merupakan barangan kawalan import yang tertakluk di bawah Bahagian 1, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan memerlukan kelulusan KKM sebelum dibawa masuk ke dalam negara.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 kerana disyaki mengelak pembayaran duti dan cukai secara tidak sah serta melanggar peraturan larangan import.