PUTRAJAYA, 1 Disember -Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa semua barangan milik ahli perniagaan Albert Tei Jiann Cheing yang dirampas pada hari penahanannya direkodkan mengikut prosedur.
Menurut kenyataan SPRM, senarai rampasan itu turut ditandatangani sendiri oleh Albert pada hari kejadian.
Salinan Senarai Penyitaan Harta Alih di bawah Seksyen 33 Akta SPRM 2009 kemudian diserahkan kepadanya pada 28 November lepas.
"Barangan yang disita merangkumi telefon bimbit, iPad dan perakam video digital yang dijadikan bahan bukti siasatan," menurut kenyataan itu.
SPRM turut menafikan dakwaan peguam yang mewakili isteri Albert Tei, yang mendakwa rampasan dibuat tanpa mematuhi prosedur undang-undang.
“SPRM sentiasa menjalankan tugas mengikut peruntukan undang-undang serta peraturan dalam bidang kuasa suruhanjaya,” menurut SPRM.
Peguam tersebut sebelum ini memberikan tempoh tiga hari kepada SPRM untuk mengemukakan inventori harta yang dirampas.
Albert Tei ditahan di kediamannya di Puchong pada Jumaat lalu.
Penahanan itu berkait siasatan dakwaan beliau memberi suapan kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri.
Suapan berkenaan didakwa bertujuan mendapatkan semula dana yang diberikan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.