BAU, 23 Ogos – Seorang kakitangan awam maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 18, Jalan Bau-Serikin, awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Bau, DSP Dr. Daram Ruer berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa, Robinson Jambai Bunak, 34 tahun, dilaporkan sedang terbaring di atas jalan sebelum dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berusia 25 tahun.
Menurut beliau, pemandu berkenaan tidak sempat mengelak mangsa.
“Robinson disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.