fb fb fb fb fb

AKPS sita 20,000 kg produk makanan kering tidak berlabel di Bukit Kayu Hitam

Pelanggaran di bawah Akta Makanan 1985 berkaitan pelabelan produk

BUKIT KAYU HITAM, 23 Ogos – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam berjaya menyita sebanyak 20,000 kilogram produk makanan kering jenis “Dried Longan” tanpa jenama yang didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1985, khususnya dari segi pelabelan.

Sitaan itu dilakukan dalam operasi pemeriksaan di Balai Pemeriksaan Kesihatan, Blok E1, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam antara jam 8.30 malam hingga 10.30 malam tadi.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir dalam kenyataan berkata, produk berkenaan ditemui dibawa masuk bersama barangan dagangan lain melalui laluan perdagangan.

“Anggaran nilai rampasan berjumlah lebih RM480,000 berdasarkan invois yang dikemukakan. Namun, tiada sebarang tangkapan individu dibuat dalam operasi ini,” katanya.

Kesalahan tersebut merupakan pelanggaran di bawah Akta Makanan 1985 berkaitan pelabelan produk.

Menurut SAC Mohd Nasaruddin, pihak agen pengimport telah memilih untuk melaksanakan proses re-eksport ke negara asal, manakala tindakan selanjutnya akan diambil setelah mendapat kelulusan mengikut prosedur sedia ada.

Beliau menegaskan, AKPS komited memastikan setiap produk makanan yang dibawa masuk ke negara ini mematuhi undang-undang serta piawaian keselamatan makanan.

“Kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan lain akan terus diperkukuh demi menjamin keselamatan pengguna dan kedaulatan sempadan negara,” jelasnya.
 

HASRON BIN HASSAN