fb fb fb fb fb

Jual sijil cuti sakit palsu, enam individu ditahan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 13 Disember - Kira-kira enam individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menjual sijil cuti sakit palsu di Kajang, Selangor pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisionar (ACP) Mohd Zaid Hassan dalam satu kenyataan berkata, suspek membabitkan empat wanita dan dua lelaki berusia 26 hingga 51 tahun, ditahan dalam serbuan yang dijalankan di Bukit Jalil, di sini dan Kajang.

Hasil serbuan, polis turut merampas 171 sijil cuti sakit kerajaan dan 70 sijil cuti sakit swasta selain 19 resit rasmi klinik, sebuah komputer riba, lapan telefon bimbit, enam buku sijil cuti sakit dan lima pemacu pena.

"Berdasarkan siasatan awal mempercayai mereka menjalankan kegiatan berkenaan sejak tahun lepas dan sijil sakit palsu itu dijual pada harga RM30 hingga RM50 sekeping di sekitar Kajang.

"Polis menasihatkan orang ramai terutama majikan supaya membuat semakan dan menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerusi talian 03-8911 4242 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan penjualan sijil cuti sakit," katanya.

Mohd Zaid berkata, kesemua individu itu direman sejak Sabtu lepas hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu menggunakan dokumen palsu.

TETITIA YUSOFF