BATU MAUNG, 13 Disember - Sebanyak 1,561 unit bubu naga bernilai RM234,150 di sekitar perairan Pulau Pinang disita Jabatan Perikanan Negeri sejak awal tahun ini hingga 13 Disember.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Zarina Zainuddin berkata turut dirampas 175 unit bubu naga dengan anggaran nilai sebanyak RM26,250 dibawah Seksyen 11(3)(c), iaitu menggunakan peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah.
"Saya menyeru kepada semua nelayan atau mana-mana individu untuk tidak melakukan kesalahan yang menyalahi Akta Perikanan 1985 terutamanya apabila melibatkan aktiviti penangkapan ikan kerana jika didapati bersalah akan dikenakan kompaun maksimum RM 20,000 atau dua tahun penjara," katanya pada sidang media, di sini.
Tambah Zarina, sepanjang tempoh tersebut pihaknya turut menahan 24 warga asing kebanyakannya dari Myanmar dan Indonesia berumur 20 hingga 40 tahun kerana bekerja tanpa kebenaran dan tanpa permit sah di atas enam vesel tempatan.