fb fb fb fb fb

Lebih 5,000 arak seludup dirampas di Labuan

Izwanhadi Idros (dua kanan) bersama arak seludup yang dirampas

LABUAN, 12 Disember- Cubaan menyeludup arak atau minuman keras pelbagai jenama 'dipatahkan' oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), tengah malam tadi.

Operasi itu berjaya merampas sebanyak 5,472 minuman keras bernilai RM100,000.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Idros berkata, sindiket berkenaan dikenal pasti melalui risikan selama sebulan menerusi rondaan Op Sejahtera, Op Khas Kuda Laut dan Op Tiris 2.0.
 
Menerusinya, bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot mencurigakan di perairan sini menghala ke arah Menumbok, Sabah, sekitar pukul 12.30 tengah malam tadi.
 
"Sebelum (penguatkuasa) menghampiri, tekong bot bertindak terjun ke laut bagi meloloskan diri dalam kawasan hutan paya bakau berhampiran.

"Bot tersebut ditahan pada kedudukan 0.2 batu nautika tenggara Tanjung Klias, Menumbok, Sabah," katanya pada sidang media di bangunan Maritim Malaysia Zon Maritim Labuan di sini.
 
Kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa keluar minuman keras tanpa cukai melebihi jumlah dibenarkan.

Izwanhadi berkata, usaha mengesan dan memburu dalang serta suspek diteruskan bagi memastikan pelaku jenayah dikenakan tindakan undang-undang.

SITI AISHAH BINTI MD ISA