KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pasukan 'task force' daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kini mengambil alih siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara memaklumkan, pasukan yang terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota itu telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Katanya, pasukan itu adalah sebahagian daripada komitmen PDRM untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
"PDRM memandang serius setiap kes yang melibatkan kehilangan nyawa.
"Sehubungan itu, PDRM menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional, serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan," menurut kenyataan itu di sini, hari ini.