KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Bekas Bendahari Kesatuan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) Cawangan Terengganu didenda keseluruhan RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu.
Hakim Mohd. Azhar Othman menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Jafri Wahab, 59 tahun yang juga pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membuat pengakuan bersalah sebaik dua pertuduhan tersebut dibacakan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal, tertuduh berdepan penjara tiga bulan bagi setiap kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Jafri didakwa menyalahgunakan wang Tabung Kebajikan Anulae Cawangan Terengganu berjumlah RM29,200 bagi tempoh Januari hingga Julai 2020 untuk kegunaan sendiri, selain menggunakan dokumen palsu iaitu penyata akaun Public Islamic Bank milik Anulae Cawangan Terengganu bagi tahun 2019 hingga 2020 sebagai dokumen tulen, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Asaari Salleh.