ALOR SETAR, 18 Disember - Bukan sahaja melakukan pelbagai kesalahan jalan raya, malah peralatan menghisap dadah turut ditemukan dalam sebuah kenderaan yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, semalam.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, kejayaan itu hasil tindakan pantas pasukan operasi penguat kuasa yang menahan sebuah kereta dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Gunung Keriang menghala ke Kampung Pulau Kerengga.
Menurut beliau, ketika rondaan dijalankan, pasukan operasi bertembung dengan sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki sebelum pemandu terbabit bertindak memecut kenderaan bagi mengelak pemeriksaan.
Kenderaan itu bagaimanapun berjaya disekat pasukan operasi JPJ di tepi jalan.
"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu berusia lingkungan 40-an itu melakukan 11 kesalahan jalan raya, antaranya Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan palsu, tiada perlindungan insurans, melanggar lampu isyarat serta kegagalan menyelenggara tayar dan kenderaan," katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut turut menemukan pelbagai peralatan menghisap dadah, ketum dan minuman keras di dalam kenderaan berkenaan, yang kemudiannya disita bagi tujuan siasatan.
Manakala pemandu terbabit diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.