fb fb fb fb fb

JPJ Kedah sita tiga lori dalam Ops Gempur

Lori perdagangan disita JPJ Kedah dalam Ops Gempur di Gurun dan Alor Setar.

GURUN, 18 September - Tiga lori disita dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah di Gurun dan Alor Setar, selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan serius.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam, berkata dalam Ops Gempur di Gurun, dua lori ditahan kerana tayar haus berlebihan, membawa kayu penyendal, Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional (GDL) tamat tempoh, muatan tumpah berciciran serta kenderaan tidak diselenggara dengan baik.

“Kesalahan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berisiko tinggi mengundang kemalangan,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi di Kilometer 2, Lebuhraya Sultanah Bahiyyah, Alor Setar, sebuah lori tipper turut disita selepas dikesan melakukan kesalahan seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada pemeriksaan PUSPAKOM, serta pemandu tidak memiliki lesen memandu dan GDL.

Tindakan sitaan dibuat di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kenderaan dipercayai digunakan secara tidak sah dan mengancam keselamatan awam.

TUN JULIA MOHD TAHIR