KUANTAN, 18 September - Seorang guru di Maran mengalami kerugian RM340,500 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau ‘Phone Scam’ yang mendakwa dirinya terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata wanita berusia 42 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek pada 27 April lalu.
Suspek yang menyamar sebagai wakil insurans, pegawai polis dan pendakwa raya mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram serta mengarahkannya menyediakan wang ikat jamin.
Mangsa kemudian diarahkan membuka akaun bank baharu dan menukar nombor telefon berdaftar. Akibat terpedaya, dia membuat pinjaman lebih RM280,000 selain menggadaikan barang kemas.
Antara 15 Julai hingga 15 September, mangsa membuat 13 transaksi berjumlah RM117,000 ke lapan akaun berbeza.
Semakan penyata bank pada 17 September turut mendapati 24 transaksi tidak sah bernilai RM223,500 dalam akaun simpanannya dipercayai dilakukan sindiket setelah memperoleh akses.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.