fb fb fb fb fb

JPJ Kedah sita tiga lori dalam Op Gempur Kenderaan Perdagangan

Tiga lori yang disita disiasat mengikut Seksyen 64 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987/foto FB JPJ Negeri KEDAH

KOTA SETAR, 18 Disember - Tiga buah lori disita menerusi Op Gempur Kenderaan Perdagangan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan serius.
 
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam, berkata Op Gempur Kenderaan Perdagangan diadakan seawal pukul 5.00 pagi di dua lokasi tumpuan iaitu Pokok Sena dan Kuala Nerang.

Dalam operasi tersebut, sebanyak tujuh kenderaan perdagangan jenis motolori telah diperiksa dan dikenakan tindakan.
 
Kesemua motolori berkenaan dikenakan tindakan saman P22 atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
 
"Antara kesalahan itu termasuk pemandu tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) kelas E yang sah, gagal memiliki Lesen Vokasional (GDL) kelas E, menggunakan kenderaan dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, dan menggunakan kenderaan tanpa perlindungan insurans yang sah," katanya.
 
Kesalahan lain termasuk gagal menjalani pemeriksaan mandatori Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), kesalahan teknikal kenderaan atau kenderaan tidak mematuhi spesifikasi keselamatan, membawa muatan bahaya tanpa kebenaran dan tidak mematuhi syarat ditetapkan, serta membawa muatan berat melebihi had dibenarkan.
 
Selain itu, tiga lori yang disita disiasat mengikut Seksyen 64 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
JPJ Kedah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa berada pada tahap tertinggi.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI