JOHOR BAHRU, 18 Disember - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menyerbu sebuah kilang komputer di Johor Bahru selepas dikesan menggaji Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus dalam satu kenyataan berkata, siasatan awal mendapati wujud unsur pelanggaran undang-undang imigresen secara terancang di kilang berkenaan.
Serbuan yang dijalankan pada Selasa itu menyaksikan seramai 356 PATI berusia antara 18 hingga 46 tahun ditahan bersama dua pegawai sumber manusia kilang berkenaan, melibatkan warganegara India, Filipina, Myanmar, Bangladesh, Pakistan, Nepal dan Indonesia.
Terdahulu, cubaan sebahagian PATI untuk meloloskan diri gagal apabila pasukan penguat kuasa menutup semua laluan keluar dan masuk premis terbabit.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.