ALOR SETAR, 27 Januari- Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ Kedah telah mengeluarkan 352 notis saman terhadap kenderaan asing yang melakukan kesalahan dan melanggar peraturan serta undang-undang jalan raya.
Ia melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM101,300.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata pihaknya telah menyita sebuah kenderaan asing selepas pemandunya gagal menjelaskan saman tertunggak berjumlah RM17,700 sejak 12 tahun lalu.
Kenderaan tersebut bagaimanapun telah dilepaskan selepas pemandu berusia 40-an itu menjelaskan keseluruhan saman tertunggak tersebut.
Katanya, ia merupakan saman individu warga asing tertinggi yang diperolehi setakat ini.
"Bagi saya adalah perlu untuk kita bertegas dengan orang-orang yang melakukan kesalahan di negara kita, perlunya untuk orang luar menghormati dan mematuhi peraturan di negara kita seperti mana kita juga menghormati peraturan di negara orang lain," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan terhadap bas ekpress sempena Ops Tahun Baharu Cina 2025 di Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar, malam tadi.