fb fb fb fb fb

JPJ Kedah bongkar aktiviti jual lesen memandu palsu kepada warga asing

Timbalan Pengarah JPJ Kedah, Shahrul Azhar Mat Dali / Foto RTM

ALOR SETAR, 24 April- Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ Kedah membongkar aktiviti penjualan lesen memandu palsu terutama kepada warga asing melalui media sosial.
 
Ia hasil penahanan seorang lelaki warganegara Vietnam di Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada 9 April lalu.
 
Timbalan Pengarah JPJ Kedah, Shahrul Azhar Mat Dali berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan ketika sedang memandu sebuah kereta di sekitar kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam.
 
Hasil soal siasat, lelaki itu memaklumkan dia membeli lesen memandu palsu berkenaan menerusi aplikasi WeChat dengan membayar sebanyak RM2,000 kepada pihak yang mengeluarkan lesen palsu berkenaan.

"Kalau kita tengok di media sosial dia buat secara terbuka. Tapi kita masih melakukan pemeriksaan. Setakat ini masih gagal lagi.

"Jadi suka saya nasihatkan kepada yang memegang lesen memandu secara mudah ini, tidak ada dalam peraturan JPJ, memberikan lesen memandu secara terbuka. Ia mesti melalui pembelajaran dan ujian, tiada jalan mudah", kata Shahrul Azhar kepada pemberita pada sidang media kejayaan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 di Ibu Pejabat JPJ Negeri Kedah di sini.
 
Jelas Shahrul Azhar, lelaki berkenaan telah dikenakan hukuman denda sebanyak RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Jitra atas kesalahan memalsukan dokumen iaitu Lesen Memandu Palsu.
 
Kesalahan di bawah seksyen 108 (3) (e) Pemalsuan dokumen Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara antara setahun dan lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD