fb fb fb fb fb

Dua buruh binaan ditahan di KLIA2, miliki dadah seberat 13kg

S Sasikala Devi (tiga kanan) bersama rampasan dadah

SELANGOR, 24 April- Lebih 13 kilogram (kg) dadah bernilai RM1.76 juta berjaya dirampas polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, rampasan itu melibatkan dadah jenis syabu seberat 7kg, pil Erimin 5 (5.95kg) dan pil ekstasi (61 gram) yang dipercayai untuk dipasarkan di Sarawak.

Dua suspek lelaki ditahan membabitkan seorang warga tempatan, 29, dan seorang warga asing, 44.

Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua mereka positif dadah.

"Suspek tempatan mempunyai empat rekod lampau kesalahan dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kedua-dua suspek berusia 29 dan 44 tahun bekerja sebagai buruh binaan.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif syabu dan amphetamine," katanya pada Sidang Media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor di sini.

Polis turut melakukan serbuan ke atas sebuah kondominium di Seri Kembangan dekat sini susulan tangkapan dua suspek berkenaan dan menemukan pil Eramin 5 seberat 9kg serta ketamin (169.65 gram).

Sasikala berkata, tindakan juga diambil di bawah Akta dadah berbahaya (perlucuthakan harta) 1988 yang membolehkan polis menyita aset sindiket dianggarkan bernilai RM31,077.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 22 hingga 28 April depan untuk siasatan lanjut.

SITI AISHAH MD ISA