fb fb fb fb fb

Anak MB Perlis antara enam ditahan SPRM terbabit kes pemalsuan dokumen

Kesemua suspek ditahan antara pukul 7 hingga 8 pagi semalam

KANGAR, 24 April- Enam individu terdiri dua orang penjawat awam dan empat orang kontraktor ditahan reman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan berhubung kes pemalsuan dokumen melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan di sekitar Perlis.
 
Antara yang ditahan termasuk anak Menteri Besar Perlis dan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Perlis.

Permohonan reman tersebut dikemukakan di Mahkamah Majistret Kangar kira-kira pukul 8.45 pagi tadi.
 
Menurut sumber SPRM, keenam-enam suspek terlibat yang berusia 26 hingga 37 tahun itu ditahan antara pukul 7 hingga 8 pagi semalam sekitar Perlis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
 
Siasatan berkenaan melibatkan kesalahan pemalsuan dokumen melibatkan projek bernilai RM600,000 sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan bermula sejak 2022 sehingga kini.
 
Majistret Ana Rozana Mohd Nor membenarkan permohonan reman SPRM yang dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat SPRM Putrajaya, Chin Ching Yuen bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut, manakala kesemua suspek diwakili peguam, Mohd Fadhly Yaacob.
 
Mahkamah menetapkan semua suspek direman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok. 
 
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan penahanan berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE