fb fb fb fb fb

Empat ahli sindiket along didakwa, ugut peminjam guna api

Foto hiasan

JOHOR BAHRU, 24 April- Empat ahli sindiket along atau ceti haram termasuk seorang wanita hamil dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat terhadap empat peminjam.

Tertuduh, Abdul Halim Md Nor, 31 tahun, Veeno Chiew Meng Ying, 42 tahun, Liew Choon Kian, 44 tahun dan Nurazman Hassan Ashari, 36 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Tertuduh Chiew Meng Ying dan Abdul Halim menghadapi lima pertuduhan khianat, manakala Nurazman Hassan empat pertuduhan dan Choon Kian, satu pertuduhan.

Mereka didakwa melakukan khianat menggunakan api hingga menyebabkan kerosakan terhadap kenderaan dan rumah empat peminjam berusia 27 hingga 58 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Johor Bahru antara 10 Mac hingga 27 Mac lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Meng Ying, Abdul Halim dan Nurazman Hassan turut didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM70,000 kepada Meng Ying dan Abdul Halim, manakala Nurazman Hassan serta Choon Kian, masing-masing RM56,000 dan RM14,000, serta syarat tambahan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Mei depan.

ROSLINA BINTI DIN