fb fb fb fb fb

PDRM tumpaskan sindiket seludup masuk 100kg ganja setiap minggu

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa

CHERAS, 24 April- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan satu operasi sindiket pengedaran dadah di ibu negara yang dikesan menyeludup masuk ganja dari negara jiran, mencecah sehingga 100 kilogram seminggu dengan menggunakan perkhidmatan kurier.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan modus operandi terbongkar susulan penahanan lapan suspek termasuk dua wanita dalam enam serbuan secara berasingan di sekitar ibu negara pada Khamis lalu dan semalam.

"Berat keseluruhan dadah jenis ganja ini adalah 94.870 kilogram yang membawa nilai sebanyak RM293,830. Kita turut membuat rampasan membabitkan wang tunai. Jumlah rampasan wang tunai pula adalah RM34,000," kata Datuk Rusdi kepada pemberita dalam sidang media hari ini, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Selain itu, pihak polis turut merampas sebuah motosikal serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

Lima suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 29 April ini, manakala tiga lagi suspek terpaksa dibebaskan kerana polis tidak berjaya membuat permohonan reman ke atas mereka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk modus operandi ganja itu diseludup masuk ke dalam negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM