PELABUHAN KLANG, 15 Disember – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas 28.81 juta batang rokok putih bernilai RM3.7 juta serta pelbagai minuman keras bernilai RM807,646 dalam dua operasi berasingan di Zon Bebas Pelabuhan Barat.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi, berkata rampasan rokok itu ditemui melalui pemeriksaan tiga kontena bersaiz 40 kaki dalam Operasi Fortex Trident.
Pemeriksaan ke atas kontena pertama menemukan 10 juta batang rokok putih yang diikrarkan sebagai pakaian.
Manakala kontena kedua dan ketiga, sebanyak 18.81 juta batang rokok, diikrarkan menggunakan nama konsaini palsu dan berstatus transhipment.
Nilai keseluruhan rampasan rokok dianggarkan RM3.7 juta dengan duti dan cukai yang terlibat mencecah RM19.8 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana pengikraran palsu.