PELABUHAN KLANG, 15 Disember – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor berjaya merampas lima kenderaan import bernilai RM1.016 juta di sekitar Pelabuhan Klang sepanjang Oktober lalu. Rampasan itu melibatkan tiga kenderaan petrol dan dua kenderaan elektrik.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, antara kenderaan yang disita ialah beberapa model mewah termasuk Porsche 911 Turbo S, serta dua unit kenderaan elektrik import. Kesemua kenderaan dipercayai tidak mematuhi syarat pengimportan yang ditetapkan di bawah undang-undang kastam.
“Bagi kenderaan petrol, siasatan awal mendapati tiga unit disimpan melebihi tempoh yang dibenarkan di gudang berlesen tanpa pembayaran duti dan cukai. Manakala pada 27 Oktober 2025, kami menahan dua unit kenderaan elektrik import di Gudang Zon Bebas Port Klang Free Zone (PKFZ). Siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipercayai tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan MITI,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Pelabuhan Utara hari ini.
Mohamad Azhar menegaskan, individu atau syarikat yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda, hukuman penjara, atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
Selain itu, JKDM Selangor turut merampas empat kontena mengandungi gelung keluli seberat 108,874 kilogram di Zon Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.
Dagangan itu dipercayai diimport tanpa permit sah dan tertakluk kepada duti anti-lambakan, dengan nilai rampasan termasuk duti atau cukai dianggarkan RM909,642.
Semua kes masih dalam siasatan dan tindakan lanjut akan diambil terhadap pihak terlibat.