fb fb fb fb fb

JKDM Sarawak gagalkan tiga cubaan seludup barangan bernilai RM2.26 juta

FOTO RTM

SIBU, 27 Ogos - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menggagalkan tiga cubaan penyeludupan rokok, minuman keras dan produk sejuk beku dalam serbuan berasingan di sekitar Sibu pada 30 dan 31 Julai lalu.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM2.26 juta termasuk cukai.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, operasi dijalankan hasil risikan Ibu Pejabat JKDM sebelum sepasukan pegawai dari Unit Operasi Darat Sibu digerakkan ke lokasi sasaran.

Dalam serbuan pertama di sebuah bangunan komersial terbiar di Lorong Tunku Abdul Rahman 29A, pihaknya merampas 1.2 juta batang rokok dan 3,294.72 liter minuman keras. Ia diikuti serbuan kedua di Lorong Kong Yit Khim 8A yang membawa kepada rampasan 800,000 batang rokok serta 4,625.28 liter minuman keras.

Serbuan ketiga di Jalan Then Kung Suk pula menemukan tiga kontena berisi 64,524 kilogram produk sejuk beku dan 792 liter minuman keras.

“Kesemua barangan ini disyaki tidak berkastam atau tidak mempunyai Permit Import yang sah. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Norizan turut menegaskan komitmen JKDM Sarawak untuk memperhebatkan tindakan penguatkuasaan.

“JKDM Sarawak tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan kerana ia bukan sahaja menjejaskan hasil negara, malah boleh mengancam keselamatan pengguna,” tegasnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE