fb fb fb fb fb

Isteri cedera dikelar suami, suspek tindih mangsa sebelum cedera diri sendiri

Rumah di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, lokasi seorang wanita cedera selepas dikelar suaminya awal pagi tadi. Foto- RTM

BAYAN LEPAS, 27 Ogos - Seorang wanita cedera di leher selepas dikelar suaminya di bilik tidur mereka di Taman Tunas Muda, Sungai Ara awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, ACP Sazalee Adam, berkata ibu mangsa bergegas ke bilik pasangan itu selepas mendengar jeritan anak perempuannya.

“Apabila ibu mangsa masuk ke bilik, dia mendapati suspek menindih isterinya dalam keadaan cuba mengelar leher mangsa. Ibu mangsa sempat menarik mangsa turun dari katil dan membawanya keluar, manakala suspek mengelar tangan dan lehernya sendiri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil, manakala suspek mengalami kecederaan serius dan kini dirawat di zon merah Hospital Pulau Pinang.

Pasangan itu masing-masing berusia 28 dan 30 tahun, bekerja sebagai guru serta mempunyai seorang anak. Mereka juga pernah menuntut di sebuah universiti di Beijing, China.

Menurut Sazalee, pasangan tersebut sebelum ini dikenali sebagai pasangan harmoni dan tidak mempunyai sebarang masalah rumah tangga.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN