KUALA LUMPUR, 20 Mei– Sebanyak 78 peratus peningkatan kes serangan 'ransomware' atau perisian tebusan direkodkan pada suku keempat 2024 berbanding suku sebelumnya, menurut data CyberSecurity Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar berkata, lonjakan itu menekankan keperluan mendesak untuk kerjasama antarabangsa yang lebih erat dalam membendung jenayah siber yang semakin sofistikated dan merentas sempadan.
"Ancaman siber pada masa kini semakin canggih dan tidak mengenal sempadan. Serangan 'ransomware', kebocoran data, dan penipuan berasaskan siber semakin kerap berlaku dan semakin kompleks.
"Realiti ini menekankan keperluan mendesak untuk tindakan balas yang diselaraskan merentas sempadan terhadap jenayah siber. Inilah sebenarnya inti pati yang ingin dicapai oleh Cyber Games 2025," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Cyber Games 2025 di sini, hari ini.
Situasi tersebut menggariskan keperluan mendesak untuk tindakan bersepadu dan kerjasama rentas negara dalam menangani jenayah siber yang semakin meningkat.
Acara sulung itu dianjurkan oleh Malaysia dengan kerjasama Majlis Eropah, Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
Ia menghimpunkan 120 peserta dari 40 negara termasuk United Kingdom, Switzerland, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong, Qatar, Maghribi, Ukraine, Turkiye, Chile, Brazil, Armenia, Albania, Vietnam, Laos, Thailand dan Singapura.
Program selama empat hari itu merupakan platform antarabangsa pertama yang bertujuan memperkukuh keupayaan global, memperluas rangkaian profesional dan meningkatkan kemahiran forensik digital dalam menghadapi serangan siber.
Tambah beliau, Cyber Games menyatukan pakar penguatkuasaan undang-undang, penyiasat dan pakar forensik digital untuk menghadapi senario simulasi serangan siber sebenar, dalam suasana bertekanan tinggi.
Latihan secara langsung meliputi aspek forensik digital, analisis 'blockchain', risikan sumber terbuka (OSINT), analisis perisian hasad dan tindak balas insiden bagi meningkatkan keupayaan bertindak balas terhadap ancaman siber global.