KUALA TERENGGANU, 14 Mei -Seorang polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah 23-ribu ringgit di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Mohd Azhar Othman.
Tertuduh didakwa menerima rasuah berjumlah 23-ribu ringgit daripada Mohamad Adam A. Rahman, melalui pindahan masuk ke akaun pihak ketiga sebelum dipindahkan ke akaun milik isterinya.
Ia sebagai balasan melepaskan tiga individu lain yang ditahan serta membuang dadah jenis syabu dalam satu serbuan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin 7-ribu ringgit atas kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali serta pasport diserahkan kepada mahkamah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiyah Mohd. Noorlee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
18 Jun depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.