SEREMBAN, 14 Mei - Lima remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan melakukan kekerasan terhadap seorang pelajar 17 tahun sehingga menyebabkan kecederaan parah dalam satu kejadian di Kampung Sentosa, di sini pada 8 Mei lepas.
Shazrin Shah Mohd Norazham, 19, Nur Ariq Farhan Ismail, 21, Nur Ezwan Ezanie Rohaizad, 24, serta dua lagi remaja berusia 17 tahun membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan pertama, kesemua tertuduh bersama-sama dengan yang masih bebas, dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap seorang remaja berusia 17 tahun di Kampung Sentosa Jaya, di sini pada kira-kira 11 malam, 8 Mei.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, mereka didakwa secara bersama telah berhimpun secara berkumpulan dan mendatangkan kecederaan kepada mangsa, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya P. Rubini menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh, namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Razqeeyanur Sarini Salzali yang mewakili semua tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana mereka masih muda dan berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.
Razqeeyanur berkata tertuduh antaranya bekerja sebagai jurukimpal dan penyambut tetamu dengan masing-masing bergaji RM1,000 manakala seorang lagi merupakan pekerja kilang dengan pendapatan RM1,500 dan perlu menanggung ibu bapa yang uzur.
Beliau berkata tertuduh lain pula bergantung pada ibu mereka yang bekerja di kedai makan dan petugas kebersihan yang tiada pendapatan tetap.
Majistret kemudian menetapkan setiap seorang dijamin RM2,500 bagi pertuduhan pertama dan RM2,000 untuk pertuduhan kedua dengan seorang penjamin serta menetapkan 16 Jun sebagai sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak 10 individu berumur antara 17 hingga 31 tahun direman bagi membantu siasatan berhubung insiden memukul seorang pelajar tingkatan lima di Paroi, awal pagi Jumaat lepas.- BERNAMA