TAWAU, 14 Mei- Nasib 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun yang dituduh membunuh pelajar Kolej Vokasional (KV) Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan pada Mac tahun lalu, dijangka ditentukan pada 11 Jun depan.
Tarikh itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol pada prosiding hari ini.
Hari ini sepatutnya prosiding untuk pihak-pihak memberikan atau memohon penjelasan lanjut berkenaan sesuatu keputusan, hujahan atau isu tertentu sebelum mahkamah menetapkan tarikh keputusan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memaklumkan kepada mahkamah bahawa semua pihak telah memfailkan hujahan bertulis masing-masing dan pihak pendakwaan sendiri telah memfailkan hujahan pada pagi ini.
Beliau bagaimanapun memohon tarikh baharu untuk pihaknya memfailkan hujahan balas berikutan peguam mewakili beberapa tertuduh memfailkan hujahan lewat.
Duncan kemudian mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan hujahan balas sebelum atau pada 21 Mei depan sebelum menetapkan tarikh tentatif untuk keputusan pada 11 Jun ini.
Tiga belas remaja berkenaan dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di KV Lahad Datu, pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 15 April lalu, pasukan pembelaan menutup kes mereka selepas memanggil 18 saksi memberi keterangan pada perbicaraan peringkat bela diri. Semua 13 remaja terbabit memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.
Lapan daripada 13 tertuduh diwakili peguam, Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh serta Chen Wen Jye, selebihnya diwakili Abdul Ghani Zelika dan peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.