fb fb fb fb fb

Individu 53 tahun ditangkap selesai kes bunuh peniaga di Kuantan

Wan Mohd Zahari Wan Busu

KUANTAN, 15 Februari- Seorang lelaki berusia 53 tahun ditangkap berkaitan kes bunuh peniaga makanan, Norshamira Zainal yang ditemui mati di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP)  Wan Mohd Zahari Wan Busu dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek ditangkap pada pukul 5.30 pagi tadi di sebuah rumah, kawasan Perumahan Wakaf Tembesu Gong Badak, Kuala Terengganu.

Tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pahang dan Terengganu.

"Turut dirampas bersama suspek sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.

"Pihak polis akan membuat permohonan tahanan reman terhadap suspek di Mahakamah Majistret Kuantan hari ini," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa dengan penangkapan berkenaan, polis berjaya menyelesaikan kes bunuh melibatkan seorang wanita yang ditemukan mati dipercayai akibat dibunuh di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan, Khamis lalu.

Pihak polis turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI