fb fb fb fb fb

Empat individu ditahan, 13 kes pecah rumah diselesaikan

Foto hiasan

KANGAR, 15 Februari- Polis Daerah Arau berjaya menyelesaikan 13 kes pecah rumah susulan penahanan empat individu termasuk sepasang suami isteri dalam Op Pintu di sekitar Arau dan Kangar di Perlis.

Ketua Polis Daerah Arau Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, tangkapan pertama melibatkan lelaki dan wanita tempatan berusia 23 dan 26 tahun di perkarangan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau pada 8 Februari lepas.

"Hasil daripada tangkapan ini kita berjaya menahan dua lagi suspek lelaki pada 10 dan 11 susulan daripada kes kejadian pecah rumah yang berlaku di daerah Arau," kata Ahmad Mohsin.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah mereka termasuk dua tong gas, satu mesin rumput, dua pam air, dan enam kipas siling.

Semakan mendapati tiga daripada suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah, manakala wanita yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah.

Kesemua suspek ditahan reman bermula 9 hingga 15 Februari bagi membantu siasatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI