KLUANG, 15 Februari- Seorang lelaki berusia 40 tahun yang ditahan di kawasan hadapan lampu isyarat Kluang Mall di sini, bakal berdepan enam pertuduhan termasuk berkaitan dadah.
Ketua Polis Daerah Kluang Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Bahrin Mohd Noh berkata, tangkapan dibuat susulan suspek memandu kereta dalam keadaan mencurigakan .
Suspek gagal memberikan kerjasama ketika hendak diperiksa oleh pegawai polis cawangan peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang.
Beliau juga mengesahkan kejadian yang berlaku seperti tular di media sosial yang memaparkan aksi pihak polis mengejar suspek bermula dari Persimpangan Jalan Haji Manan hingga di kawasan lampu isyarat itu.
Semasa tangkapan dilakukan polis turut merampas dadah jenis heroin di dalam kereta yang dipandu suspek.
Sementara itu hasil semakan mendapati, suspek mempunyai 15 rekod jenayah serta narkotik dan saringan ujian air kencing menunjukkan, suspek positif syabu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 44(2), Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 186 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.