fb fb fb fb fb

Imigresen bongkar hotel jadi pusat pelacuran, hiburan warga asing

Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan berkenaan

PUTRAJAYA, 7 September - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah hotel tiga bintang di Jalan Ipoh, di sini, serta sebuah pusat hiburan di Nilai, Negeri Sembilan, yang dipercayai menjadi pusat kegiatan pelacuran dan hiburan warga asing.

Serbuan pertama di Jalan Ipoh, kelmarin berjaya menahan seramai 37 warga asing berusia 19 hingga 61 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata tangkapan terdiri daripada dua lelaki warga Myanmar, masing-masing seorang lelaki India dan Indonesia, 17 wanita Indonesia, sembilan wanita Thailand, enam wanita Vietnam dan seorang wanita warga Laos.

Semakan mendapati sebahagian daripada tahanan menyalahgunakan pas, tinggal lebih masa serta ada yang langsung tiada dokumen perjalanan sah.

"Premis hotel itu disyaki dijadikan pusat pelacuran warga asing dengan modus operandi pelanggan memilih wanita melalui aplikasi WhatsApp atau hadir terus ke hotel

"Caj dikenakan antara RM250 hingga RM400 sejam dan dipercayai beroperasi sejak September tahun lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, 12 wanita asing disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala 24 yang lain disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 serta seorang lelaki Indonesia disiasat mengikut Seksyen 15(4) akta sama.

"Pasukan operasi turut menyita salinan perjanjian kerja, enam pasport Thailand, tiga pasport Vietnam, tiga pasport Indonesia dan satu pasport Laos.

"Tujuh lelaki tempatan turut diberi notis untuk hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam operasi kedua di Nilai, semalam, katanya seramai 21 wanita warga Myanmar berusia 25 hingga 40 tahun ditahan, termasuk seorang penjaga premis dan 20 gadis pelayan.

Zakaria berkata, lapan daripada mereka didapati tinggal lebih masa, manakala 13 yang lain tiada dokumen perjalanan sah.

"Seorang wanita warga Myanmar disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) dan 6(3), manakala 20 yang lain disiasat bawah Seksyen 6(3) serta 15(4) Akta Imigresen 1959/63

"Pasukan operasi turut menyita buku catatan urus niaga serta tujuh telefon bimbit. Premis hiburan berkenaan hanya beroperasi setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, khusus untuk warga Myanmar.

"Pelanggan diwajibkan membeli minuman keras untuk masuk sebelum ditawarkan gadis pelayan dengan caj antara RM150 hingga RM200 seorang," katanya.

Zakaria menegaskan Imigresen akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan bagi mengekang kemasukan serta keberadaan warga asing tanpa izin.

Trainee