fb fb fb fb fb

5 lelaki dicekup, sindiket pecah rumah di Miri tumpas

ACP Mohd Farhan Lee Abdullah (dua kiri) menunjukkan kepada media sebahagian barangan curi yang dirampas daripada suspek

MIRI, 7 September - Polis berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah yang aktif di sekitar bandar raya Miri selepas menahan lima lelaki tempatan dalam satu operasi khas, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejayaan itu susulan laporan seorang mangsa yang mendapati rumahnya di Jalan Abelia, Luak Bay dipecah masuk kira-kira pukul 12.40 tengah hari.

Mangsa dilaporkan kehilangan pelbagai barangan berharga termasuk barang kemas, komputer riba, dokumen penting serta wang tunai dengan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM80,000.

Bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Miri berjaya mengesan dan menahan lima suspek berusia antara 32 hingga 42 tahun dalam tempoh lima jam selepas laporan dibuat.

“Semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes pecah rumah dan penyalahgunaan dadah. Kejayaan ini juga menyelesaikan tiga kes pecah rumah yang dilaporkan berlaku di sekitar Miri tahun ini,” katanya hari ini.

Turut dirampas sebahagian barangan curi yang kini dalam proses dikenal pasti pemiliknya.

Kesemua suspek direman sehingga 10 September 2025 untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Ujian air kencing turut mengesahkan kelima-lima suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli barangan curi kerana tindakan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang. Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut diminta menyalurkan terus kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE