IPOH, 7 September - Polis Perak sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang wanita dan cubaan bunuh ke atas anggota polis di Simpang Pulai, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku ketika sepasukan anggota Balai Polis Simpang Pulai sedang melakukan rondaan cegah jenayah dan mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di Taman Desa Pakatan sekitar pukul 1.15 pagi.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dalam kenyataan berkata, pihaknya cuba menahan kereta tersebut tetapi tidak berjaya sebelum berlaku aksi kejar-mengejar.
"Kereta itu akhirnya berhenti di kawasan kebun kelapa sawit dan berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis.
"Dalam insiden itu, seorang anggota polis berusia 26 tahun telah ditembak di bahagian perut oleh suspek menggunakan pistol miliknya sendiri setelah ianya dirampas oleh suspek", katanya.
Anggota terlibat turut cedera ditikam sebelum suspek melarikan diri bersama senjata api tersebut.
Mangsa berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemukan mayat seorang wanita tanpa identiti di bahagian tempat duduk belakang.
“Mayat wanita itu dihantar ke Jabatan Forensik HRPB bagi mengenal pasti identiti mangsa dan punca kematiannya,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302/307 kanun keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta berhubung dengan pegawai penyiasat ASP Fadli Ahmad di talian 012-2500019 bagi membantu siasatan.