fb fb fb fb fb

Ibu Zayn Rayyan diperintah bela diri, bapa dilepas dan dibebaskan

Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 21 Julai - Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin, iaitu Ismanira Abdul Manaf agar membela diri, manakala bapanya, Zaim Ikhwan Zahari dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anak mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lepas.

Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan, 30, pada akhir kes pendakwaan. Bagaimanapun mahkamah memerintahkan Ismanira, 30, membela diri atas pertuduhan sama.

Suasana hiba menyelubungi keluarga tertuduh, sejurus hakim membacakan keputusan.

Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Dr Syahliza dalam penghakiman ringkasnya berkata, setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan secara penilaian maksimum, serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan pada akhir kes pendakwaan.

"Oleh itu tertuduh pertama, (Zaim Ikhwan) dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri, manakala bagi tertuduh kedua (Ismanira), mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh kedua dan dia dipanggil untuk membela diri mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.

Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023, sebelum mayatnya ditemukan keesokan hari di aliran anak sungai berhampiran rumahnya.

BERITA BERKAITAN

 

MASNIZA AWANG KECHIK