KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar menghentikan sebarang tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat yang tidak sahih berhubung kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.
Ini termasuk pendedahan maklumat berkaitan siasatan kes kanak-kanak tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata ini susulan pihaknya mengesan wujudnya penyebaran maklumat serta gambar yang dikaitkan dengan kes tersebut oleh pihak tertentu di media sosial.
“Maklumat yang dikongsi adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam. Tindakan sebegini bukan sahaja boleh menjejaskan perjalanan siasatan yang sedang berlangsung, malah berupaya mengganggu keadilan kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, semua proses siasatan termasuk berkaitan isu bedah siasat (post-mortem) dijalankan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Mohd Khalid turut mengingatkan bahawa pendedahan maklumat berkaitan kanak-kanak dan siasatan merupakan satu kesalahan mengikut beberapa peruntukan undang-undang.
Kesalahan itu tertakluk Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 (larangan mendedahkan identiti, alamat, nama sekolah dan gambar kanak-kanak), Seksyen 203A Kanun Keseksaan (kesalahan berkaitan pendedahan maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian).
“Pematuhan kepada undang-undang adalah asas kepada keamanan dan kesejahteraan negara. Sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan sedia ada,” katanya lagi.