SUNGAI PETANI, 7 Ogos - Polis Kedah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja selepas menahan lima individu termasuk ketua sindiket berusia antara 24 hingga 26 tahun.
Dalam empat serbuan berasingan sekitar Sungai Petani, polis turut merampas 66.42 kilogram bunga ganja bernilai RM2.32 juta, rampasan terbesar seumpamanya di negeri itu setakat tahun ini.
Ketua Polis Kedah, Pesuruhjaya Polis (CP) Adzli Abu Shah berkata, dalam serbuan pertama di tepi jalan Lot 88, Sungai Petani pada pukul 1.30 tengah hari Ahad lalu, tiga lelaki berusia 26 tahun ditahan bersama lima bagasi berisi 64.625 kg bunga ganja.
“Susulan itu, pada pukul 8.30 malam hari yang sama, polis melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di Taman SP Saujana Permai dan merampas 1.817 kg bunga ganja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.
Sehari kemudian, dua wanita berusia 24 dan 25 tahun, termasuk isteri ketua sindiket, ditahan secara berasingan di perkarangan IPD Kuala Muda.
Menurut CP Adzli, siasatan awal mendapati sindiket itu memperoleh bekalan dari seorang lelaki di negara jiran dan menyeludup bunga ganja berkenaan melalui sempadan Padang Besar, Perlis dengan menyembunyikannya di bahagian panel pintu serta bampar kereta.
“Kalau ikut risikan kita, sindiket ini baru beroperasi sekitar Julai tahun ini. Mereka baru menerima dua penghantaran daripada negara jiran. Satu penghantaran sudah lepas, manakala yang kedua berjaya kita tumpaskan semasa serbuan,” jelas beliau.
Bunga ganja berkenaan dipercayai disimpan sementara di Taman SP Saujana sebelum dihantar ke Shah Alam dan seterusnya ke negara ketiga.
Tambah beliau, dua suspek lelaki positif dadah dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, manakala ketua sindiket bersama isterinya dan seorang lagi wanita negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Tiga suspek lelaki direman tujuh hari sehingga 10 Ogos, manakala dua wanita direman sehingga 11 Ogos.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, serta Seksyen 15(1)(A) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.